Default  Merah  Biru  Hijau    |    Kecilkan Saiz Huruf   Besarkan Saiz Huruf    |   Sokongan Suara W3C W3C Bantuan petalaman
     Lupa Katalaluan
logo_head
W3C Panels
E-Mail

 

MUTIARA HADIS




Dari Abu Dzar Jundub bin Janadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal RA, dari Rasulullah SAW, telah bersabda, "Bertaqwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia."
-at-Tirmizi -



Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya"
-Bukhari dan Muslim-



Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a, daripada Nabi SAW sabdanya, "Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun."
-at-Tirmizi -



Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:"Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan."
-Al-Bukhari -



Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir."
-at-Tabrani-



Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa."
-Muslim-



Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, Kewajipan orang Islam kepada orang Islam yang lain ada lima perkara menjawab salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan mendoakan orang bersin."

Dalam riwayat Muslim, "Kewajipan orang Islam terhadap orang Islam yang lain ada enam perkara, "Apabila berjumpa maka hendaklah memberi salam, jika kamu diundang hendaklah hadiri, apabila dia meminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin dan menyebut "Alhamdulillah" doakan dengan "Yarhamkallah", jika dia sakit lawatilah dia dan apabila dia meninggal maka iringilah jenazahnya".
-Bukhari dan Muslim-



Daripada Mus’ab bin Abu Waqas R.huma katanya, "Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang lain". Maka Nabi SAW bersabda, "Kamu tidak ditolong dan diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah (dikalangan kamu)".
-Bukhari-



Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW sabdanya, "Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba didunia melainkan Allah menutup keaibannya di hari kiamat".
-Muslim-



Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, "Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya"
-Bukhari & Muslim-



Daripadanya (Abu Hurairah RA) daripada Nabi SAW sabdanya, "Tangan yang di atas (memberi) itu adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta) dan mulakan pemberian itu kepada mereka yang dibawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berada (tidak memerlukan bantuan). Sesiapa yang dapat menahan diri daripada meminta-minta (walaupun dia miskin) maka Allah akan mencukupkabn keperluannya dan sesiapa yang merasa cukup untuk diri dan keluarganya maka Allah akan memberi kekayaan kepadanya".
-Bukhari-



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya."
-Muslim-



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: Menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain."
-Ahmad-



Daripada Abu Hurairah RA katanya : "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Demi Allah sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali."
-Bukhari-



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.
-Abu Daud-



Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku'nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar."
-Muslim-



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu."
-Muslim-



Daripada Abu Zar RA daripada Nabi SAW telah bersabda, "Dituntut ke atas setiap sendi kamu itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah,setiap takbir itu sedekah, menyeru kepada kebaikan itu sedekah, melarang daripada kemungkaran itu sedekah dan memadailah bagi setiap amalan yang disebut itu dua rakaat sembahyang Dhuha."
-Muslim-



Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah."
-Muslim-



Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Seluruh amal manusia dihadapkan kepada Allah S.W.T dalam sejumaat (seminggu) dua kali. Iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni Allah dosa setiap hamba-Nya yang mukmin kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan:"Tinggalkanlah kedua orang ini dahulu sampai mereka berdamai."
-Muslim-



Dari Anas bin Mali r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya Allah Taala sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (alhamdulillah) sesudah makan dan minum."
-Muslim-



Daripada Abu Abdullah yang dikenali juga dengan Abdul Rahman Thauban RA hamba Rasulullah SAW katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ”Perbanyakkanlah sujud sesungguhnya sekali-kali tidaklah engkau sujud kerana Allah satu sujud pun kecuali Allah mengangkat dengannya satu darjat, dan hapuskan dengannya satu dosa."
-Muslim-



Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan menewaskan lawan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan hawa nafsunya ketika marah."
-Bukhari-



Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Kauthar itu ialah sebatang sungai dalam syurga, kedua-dua tebingnya adalah daripada emas, aliran airnya di atas mutiara dan yakut, bau tanah di dasarnya lebih harum dari kasturi dan airnya lebih manis dari air madu dan lebih putih dari salji."
-At-Tirmidzi-



Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucapkan sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."
-Ammaar bin Yasir r.a -



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya."
-Muslim-



Daripada Anas RA katanya, "Sesungguhnya kamu mengerjakan perbuatan yang pada pandangan kamu ianya lebih halus daripada rambut pada hal kami di zaman Rasulullah SAW mengira perbuatan itu di antara perkara-perkara yang mencelakakan (dosa besar)."
-Bukhari-



Dari Abu Bakar r.a bahawa Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda terus sujud kepada Allah."
-Ahmad-



Daripada Aisyah RA katanya, Nabi SAW bersabda, "Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ialah jihad atau berjuang dan niat untuk jihad (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjuang (dan sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia."
-Bukhari & Muslim-



Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda,"Akan masuk ke syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung (yakni benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah pada dirinya)."
-Muslim-



Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Mencaci ibu bapa termasuk dosa besar. Para sahabat bertanya: Adakah orang yang mencaci ibu bapanya? Jawab Rasulullah s.a.w ,: Ya, ada! Dicacinya bapa orang lain, lalu orang itu mencaci bapanya pula. Dicacinya ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya pula."
-Muslim-



Dari Sahal bin Saad r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya:"Di dalam syurga terdapat sebatang pokok yang naungannya tidak terlewat (tidak terlepas dilalui di bawahnya) oleh seorang pengembara selama seratus tahun."
-Muslim-



Dari Ibnu Umar r.a katanya: Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w ketika baginda sedang di atas mimbar:"Bagaimanakah caranya solat malam? " Nabi menjawab: "Solat malam dua-dua rakaat dan bila khuatir subuh datang, maka solatlah satu rakaat, bererti kamu telah witir untuk setiap rakaat yang kamu lakukan". Ibnu Umar mengatakan: "Buatlah solatmu yang akhir di waktu malam ganjil (witir) rakaatnya kerana nabi s.a.w menyuruh begitu."
-Bukhari-



Daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda: "Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepada ku. "
-Muslim-



Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah."
-At-Tabrani-



Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu."
-Muslim-



Nabi s.a.w bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan,menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."
-Abu Hurairah-



Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda,"Akan masuk ke syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung (yakni benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah pada dirinya)."
-Bukhari-



Daripada Abu Hurairah RA katanya: "Nabi SAW bersabda : "Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu."
-Bukhari & Muslim-



Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, "Antara wang yang engkau belanjakan ke jalan Allah, wang yang engkau belanjakan untuk hamba sahaya, wang yang engkau sedekahkan kepada orang-orang miskn dan wang yang engkau belanjakan untuk kaum keluargamu, maka pahala yang paling besar ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara kaum keluargamu."
-Muslim-



Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: " Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."
-Muslim-



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu."
-At-Tirmidzi-



Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika kamu memakai sandal (kasut), pakailah yang kanan terlebih dahulu. Tetapi jika membukanya, yang kiri dahulu dibuka. Maka yang kanan adalah yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dibuka."
-Bukhari-



Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud: "Tinggalkan apa yang membimbangkan kamu kepada apa yang tidak membimbangkan kamu."
-At-Tirmidzi-



Dari Abu Musa r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:"Selalu-selalulah membaca al-Quran kerana demi Allah ia lebih cepat lepas daripada unta di tambatannya."
-Muslim-



Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan."
-Bukhari & Muslim-



DDaripada Aisyah RA katanya, "Kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam yang terakhir (malam yang kedua puluh satu hingga tiga puluh daripada bulan Ramadhan) baginda menghidupkan malam-malam tersebut, dan bersungguh dalam melakukan ibadat serta menjerut tali pinggangnya."
-Bukhari & Muslim-



Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa."
-Muslim-



Abu Ayyub r.a meriwayatkan katanya: Adalah Rasulullah SAW apabila baginda didatangkan makanan maka baginda memakan sebahagiannya dan yang lebihnya dikirim kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada ku makanan yang lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya ada bawang putih. Saya bertanya kepada beliau: Apakah ia haram? Baginda bersabda: Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub berkata: Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang anda tidak menyukainya."
-Muslim-



Dari Abu Hurairah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar."
-Bukhari-



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut."
-al-Hakim-



Abu Hurairah r.a mengkhabarkan bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Solat berjamaah lebih utama daripada solat sendirian sebanyak dua puluh lima kali ganda. Para malaikat malam dan para malaikat siang berkumpul bersama ketika solat fajar. Kemudian Abu Hurairah berkata:"Jika kamu suka, bacalah ayat al-Quran sesungguhnya bacaan waktu fajar disaksikan oleh para malaikat."
-Bukhari-



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula."
-al-Tabrani-



Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?"
-al-Tabrani-



Dari Jubair bin Muth'in, katanya: "Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ˜Aqib (penghabisan)."
-Bukhari-



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "3 Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong."
-Muslim-



Daripada Aishah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Orang-orang yang boleh membaca al-Qur’an dengan lancar dan tajwid yang betul, mereka sama taraf dengan malaikat yang merupakan utusan Allah dan mereka sentiasa berbakti dan patuh kepadanya, sebaliknya bagi orang yang boleh membaca al-Qur’an tapi tidak lancar dan tajwidnya pula kurang baik akan memperolehi dua pahala."
-Bukhari & Muslim-



Dan daripada Ibn Umar RA daripada Nabi SAW sabdanya, "Tidak harus bersifat hasad (iri hati) melainkan dalam dua perkara iaitu : Seseorang yang dikurniakan oleh Allah al-Qur’an (dihafaz dan difahaminya), maka ia membacanya sepanjang malam dan siang dan seseorang yang dikurniakan Allah harta lalu ia membelanjakannya (ke jalan yang diredhai Allah) sepanjang malam dan siang."
-Bukhari & Muslim-



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka."
-Muslim-



Dari Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW sabdanya, "Syurga dan Neraka berbantahan. Neraka berkata, "Didalamku adalah orang yang gagah dan sombong."Syurga pula berkata, "Didalamku adalah orang yang lemah dan golongan miskin." Maka Allah memberi keputusan di antara keduanya, dengan firman-Nya "Sesungguhnya engkau syurga rahmat-Ku, dengan engkaulah aku memberi rahmat kepada sesiapa sahaja yang aku kehendaki, dan sesungguhnya engkau neraka adalah azabku yang dengan kamulah aku menyeksa sesiapa sahaja yang aku kehendaki. Bagi kedua kamu akan Aku penuhkan isinya."
-Muslim-



Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya".
-Muslim-



Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : "Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka."
-Bukhari & Muslim-



Daripada Abu Hurairah RA katanya : Rasulullah SAW bersabda, "Demi tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan masuk Syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang. Sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah ucapan salam di kalangan kamu."
-Muslim-



Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Apakah amalan yang terbaik dalam Islam?" Baginda bersabda, "Memberi makan makanan dan memberi salam kepada orang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenali"
-Bukhari & Muslim-



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penafian : PPPN Pahang tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian disebabkan penggunaan maklumat dalam laman ini.
[Paparan Terbaik resolusi 1024 x 768 [IE 7.0++/Firefox/Google Chrome/Safari/Opera]